Saturday, October 19, 2013

Kedudukan Al-Marhum Ustaz Ashaari Muhammad Di sisi Warga GISB


Ada beberapa orang teman bertanyakan Pak Lang tentang kedudukan Al-Marhum Ustaz Haji Ashaari Muhammad di sisi warga GISB. Pertanyaan ini bermaksud status diri Al-Marhum setelah GISB mengisytiharkan kembali mengikut kehendak Fatwa (Terhadap Kumpulan Al-Arqam Pimpinan Haji Ashaari Muhammad). UNTUK RUJUK FATWA, SILA KLIK DI SINI DAN DI SINI

Pada Pak Lang isu kembali kepada kehendak Fatwa ini sangatlah mudah. Pada asasnya hal ini bermula dari niat dan keazaman. Puan Ibu Hatijah Aam selaku Pengerusi Eksekutif GISB telah mendapat kesedaran apabila diberi peluang berbincang dan mendapat penjelasan daripada para pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Sesi perbincangan yang berlarutan dari masa ke semasa telah membuka pintu hati Puan Ibu Hatijah bagi menerima keputusan J/K Fatwa sepenuhnya. Ianya keputusan yang dibuat dengan hati yang tulus kerana bukan mudah siapa sahaja untuk memaksa beliau.
Pak Lang ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JAIS di atas kesungguhan mereka membuka ruang perbincangan yang sangat bermakna bagi Puan Ibu Hatijah. Siapa yang mengenali Puan Ibu Hatijah akan tahu bahawa bukanlah mudah untuk sesiapa pun berdepan dengan bekas ketua muslimah Al-Arqam itu. Tetapi beginilah hakikat yang terjadi. Rupanya tidak sukar meruntuhkan tembuk pemisah antara Puan Ibu Hatijah dengan pihak berkuasa agama. Apakah rahsianya?
Pada Pak Lang rahsianya ada pada diri Puan Ibu Hatijah itu sendiri. Bagi sesiapa yang mengenalinya, pastilah sangat ketara sifat lurus hatinya dengan kebenaran. Hati dan jiwa Puan Ibu Hatijah sangat sensitif dengan kehendak atau tuntutan agama. Selama ini yang dipegangi dan diyakininya adalah berdasarkan kepada apa yang dia yakin itulah keyakinan beragama yang sepatutnya.
Justeru dia boleh berubah kerana dia tidak mempunyai agendi peribadi atau mensasarkan sesuatu untuk peribadinya. Dia tidak mengambi sebarang kesempatan untuk diri dan keluarganya. Soal orang yang menyangka dan menuduhnya bukan-bukan, itu mereka jawablah di depan Tuhan di Padang Mahsyar.
Pak Lang yang mengenalinya sangat tahu jika terhadap peribadinya, dia boleh diherdik, dihina, dicaci, dimaki dan sebagainya. Dia akan kelihatan sangat selamba mendengarnya. Bahkan dia akan memberi peluang seluas-luasnya bagi dipenuduh berkata apa saja yang jelek terhadap dirinya. Dia tidak pedih telinga mendengarnya.
Pak Lang menyaksikannya banyak kali berlaku dan pernah dia ucapkan dorongan supaya di penuduh meneruskan tohmahan serta penghinaan terhadap dirinya. Katanya, "Kejelekan saya yang anda ucapkan itu masih terlalu sedikit. Sebenarnya banyak lagi yang anda tidak sebut atau tidak tahu. Jika anda mahu, saya bersedia mendengarnya semua yang anda ingin luahkan. Apa-apa pun terima kasih kerana anda sudi berkongsi dengan saya tentang semua yang perlu saya baiki di dalam diri saya!!"
Apa yang dimarahinya ialah jika ada sesuatu yang merosakkan perjuangan yang diyakininya. Baginya Islam yang ingin diperjuangkan itu adalah Islam yang dijanjikan di dalam solatnya iaitu "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku, seluruhnya aku persembahkan ke hadhrat Tuhan pemilik seluruh alam." Dan jika dia sudah terlibat di dalam jemaah yang sebegini, dia bersedia menyerahkan hidup matinya untuk itu. Dari sudut inilah, 'Ummu Jah' di lihat keras atau degil.

Keputusan kembali kepada Fatwa yang dibuat beliau membuktikan beliau adalah seorang yang boleh dibawa berunding. Beliau berpotensi mendengar pandangan dan buah fikiran pihak lain. Keterbukaannya terbukti.

Pak Lang yakin Puan Ibu Hatijah membuat keputusan kembali kepada Fatwa ini dengan kesedaran dan keinsafan yang mendalam. Sebab itu beliau tawarkan semua staf GISB untuk bersamanya menyahut hasrat pihak JAKIM, JAIS dan semua pihak berkuasa agama di negeri-negeri untuk tunduk menerima keputusan Jawatan Kuasa Fatwa, Majlis Fatwa Kebangsaan. Setakat ini semua staf GISB seramai 4,000 orang sebulat suara menyambut hasrat beliau. Hujjah yang beliau kemukakan kepada kami sangat menyedarkan kami betapa perlunya kami tunduk dan patuh dengan keputusan Fatwa berkaitan.
Kami sedar dan insaf, selama ini kami telah menyinggung perasaan banyak pihak kerana kedegilan kami. Ianya tidak sepatutnya kami lakukan sedangkan pihak yang mempunyai kuasa dalam hal ehwal agama Islam di negara ini sudah membuat keputusan. Suatu yang muktamad telah dipaterikan terhadap pergerakan perjuangan kami atas nama Al-Arqam yang didasari oleh pegangan dan amalan Aurad Muhammadiah sebelum ini.
Hujjah-hujjah yang dikemukakan kepada kami sepatutnya dapat diterima sebaik fatwa diputuskan. Tetapi kami berdegil untuk tunduk sedangkan pihak berwajib sudah menanti hampir 20 tahun selepas keputusan Fatwa pada tahun 1994. Masa yang begitu panjang diberikan kepada kami supaya kami kembali ke arus perdana dengan rela hati dan benar-benar berubah. Dari sudut ini tentulah tidak dapat dinafikan betapa luasnya ruang budi bicara JAKIM, JAIS dan lain-lain terhadap kami. Jelaslah pihak tersebut mempunyai pendekatan yang sangat terbuka dalam menangani isu kami selama ini.
Sekarang, semua staf GISB sedang melalui proses transformasi kefahaman daripada faham Aurad Muhammadiah kepada pegangan serta kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tentunya ia akan memakan masa tetapi dengan bantuan semua pihak diharapkan proses pemulihan ini akan dapat berjalan lancar dan cepat.
Persoalan yang timbul kepada sebahagian orang ialah bagaimana kedudukan Al-Marhum Ustaz Haji Ashaari Muhammad di sisi bekas pengikutnya? Inilah yang kami kerap ditanyakan. Semuanya mengenai hal-hal yang berkaitan dengan keyakinan kami sebelum ini. Terhadap diri Al-Marhum, apakah panggilan terhadapnya sekarang? Apakah status ketiadaannya? Mati atau ghaib? Bagaimana pula dengan keyakinan sebelum ini terhadapnya sebagai Pemuda Bani Tamim dan lain-lain gelaran?
Di kesempatan ini izinkan Pak Lang nyatakan pandangan Pak Lang mengenai isu ini. Sememangnya perkara ini juga mudah. Sekadar untuk menukar sebutan atau panggilan tidaklah payah dan sukar. Apa yang penting ialah perubahan keyakinan atau pendirian. Apa yang disebut sebelum ini dengan pelbagai istilah yang kontroversi adalah sesuatu yang ditunjangi di dalam hati. Ungkapan di mulut itu ialah apa yang dipegang kejap di dalam hati. Kuatnya keyakinan kami atas apa jua hal berkaitan Aurad Muhammadiah dan lain-lain itu Tuhan sahaja yang tahu.
Kami dilihat sangat tertutup, sangat taasub dan sangat fanatik dengan ajaran Al-Marhum. Pandangan orang lain, kami tidak dapat menerimanya dengan mudah. Kami dilihat sedang berada di dalam kepompong seperti katak di bawah tempurung. Sejauh mana kami berhasrat untuk tampilkan keberadaan kami sebagai suatu yang releven di sisi masyarakat, sejauh itulah kami terus dipertikaikan. Ertinya fatwa yang telah diputuskan itu benar-benar mengikat kami dengan komitmen pemulihan yang berterusan. Kami insaf tentang hakikat kesilapan kami selama ini.
Jadi, dalam proses pemulihan ini, rasanya kami perlu diberi ruang atau tempuh peralihan atau tempuh masa transformasi. Justeru Pak Lang suka nyatakan di sini tentang kedudukan Al-Marhum Ustaz Haji Ashaari (UHAM) sekarang – apabila kami akur menerima fatwa. (Maka kalau kami masih tersasul atau tersilap, diharapkan kami masih boleh dimaafkan). Antaranya ialah;
a) Al-Marhum UHAM sudah meninggal dunia pada 13 Mei 2010. Beliau sebenarnya sudah kembali ke rahmatullah seperti manusia yang lain. Setiap yang bernyawa pasti menemui mati. Maka Al-Marhum UHAM tidaklah boleh dianggap ghaib sehingga ditunggu-tunggu kedatangannya semula.
b) Al-Marhum UHAM bukan lagi Putera Bani Tamim. Jadi tidak ada lagi panggilan atau sebutan yang boleh membawa makna kepada gelaran tersebut. Apa jua ringkasan kata tidak lagi akan digunakan seperti PBT (Putera Bani Tamim) atau AFT (AlFata At-Tamimi).
c) Al-Marhum UHAM bukan lagi Sohibuzzaman. Maka huruf ringkas SZ (Sohibuz Zaman) tidak akan digunakan lagi. Al-Marhum juga bukan lagi pemimpin yang dijanjikan di akhir zaman samada sebagai wazir kanan (pembantu) Imam Mahdi atau ketua para wali atau sebagai bakal pemimpin Malaysia. Maka tidak ada lagi penggunaan perkataan ‘Wazir’ atau ‘bakal PM’.
e) Panggilan ‘mursyid’ kepada Al-Marhum eloklah dielakkan kerana ianya membawa makna yang khusus. Manakala panggilan ‘Abuya’ dengan menganggapnya sebagai guru yang banyak berjasa, masih boleh diterima. Sementelah sebutan ‘Abuya’ juga merupakan istilah para anak murid kepada para guru terutama di kalangan masyarakat Indonesia. Sebutan Buya Hamka sebagai contohnya adalah sebutan yang diterima pakai masyarakat nusantara sejak dulu lagi.
f) Kedudukan Al-Marhum UHAM sebagai ‘guru’ ini wajar difahami kerana inilah akhlak yang dituntut di dalam ajaran Islam. Siapa pun yang mengajar dan mendidik kita sebelum ini, tetaplah akan menjadi guru kita seumur hidup, dunia-akhiat – walaupun yang diajarkannya hanyalah satu huruf. Apa pun kesilapan atau kesalahan seseorang, tetaplah tidak menafikan kebaikan atau jasa sumbangan yang telah diberikannya.
g) Kedudukan Al-Marhum UHAM sebagai suami bagi isteri-isterinya, ayah atau datuk bagi anak cucunya, mertua bagi menantu-menantunya dan lain-lain hubungan atau panggilan kekeluargaan adalah kekal tidak berubah dari panggilan yang digunapakai selama ini.
h) Menyimpan gambar Al-Marhum sebagai guru atau ketua keluarga, masih wajar dibenarkan dengan syarat sekadar menganggap Al-Marhum itu hanya seorang guru atau ketua keluarga – tidak lebih dari itu.
Rasanya sekadar inilah dulu paparan kali ini dengan harapan apa yang Pak Lang tulis ini dapat membantu pencerahan minda semua pihak. (Banyak lagi yang hendak Pak Lang tulis tetapi kekangan masa sedikit sebanyak merencatkan hasrat di hati). Bagi anak cucu di dalam GISB, diharapkan akan tahu meletakkan Al-Marhum UHAM pada sisi yang tepat. Kita diajar dalam Islam untuk pandai mengambil pendirian dan bijak membuat pertimbangan. Hal yang mudah janganlah diserabutkan. Hal yang sulit dan serius jangan pula diambil sambil lewa.
Kembali kepada fatwa adalah isu yang sangat relevan untuk kita semua waktu ini. Janganlah ada yang berdolak dalik. Marilah kita menjadi orang yang mengutamakan perpaduan dan kasih sayang dalam bersama semua pihak membangunkan masyaralat dan Negara. Kita tidak perlu jadi keliru kerana jalan yang dibentangkan sangat jelas dan sangat bermanfaat. Kita sememangnya selama ini tersilap dan tersalah dari sudut akidah. Justeru kita tidaklah mengorbankan apa-apa pun kecuali ego dan sombong dari nafsu kita.
Jika kita sedar dan insaf bahawa kita semua adalah hamba yang hina, hamba yang berdosa maka kita akan sensitif dengan sebarang ajakan atau seruan supaya kita kembali kepada kebenaran. Sesuatu yang kita pegang selama ini - yang salah - tentulah pelik jika kita mahu pertahankan.
Kepada anak cucu di dalam GISB, marilah kita mulakan tekad dan azam baru bersama Puan Ibu Hatijah. Sesiapa yang ikut serta akan menjadi penama yang ada catatan dalam sejarah kembalinya pengikut Al-Marhum UHAM kepada kehendak fatwa. Kita kembali kepada kebenaran setelah lebih 20 tahun kita bertahan dengan kedegilan yang tidak sampai ke mana. Marilah kita bersama masyarakat arus perdana di Negara Malaysia yang tercinta ini meneruskan cita-cita menyemarakkan Islam sebagai cara hidup melalui saluran yang dibenarkan.
Kepada JAKIM, JAIS dan semua pihak berkuasa agama di Negara ini, Pak Lang ucapkan syabas dan berbanyak terima kasih di atas kesungguhan semuanya menangani masalah kami. Semoga Allah swt pertemukan kita dalam ruang kerjasama yang lebih harmoni dan saling hormat menghormati. Dan Dia jadikan setiap hati yang ikhlas dalam menjayakan proses pemulihan ini, mendapat pimpinan taufik hidayah dariNya yang berkekalan. KepadaNya kami berserah dan kepadaNya kita pasti kembali.
 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Copyright @ 2013 Akhir Zaman.